Sunday, March 13, 2011

Sajak loghat Kuala Berang (Terengganu) - Raye dulu, Raye Lening

Dulu malang raye suke nok terang je…

(Dulu malam raya suka nak terang je)

Bako sapoh, korek buloh, buak pelite..

(Bakar sampah, korek buluh buat pelita)

Bubuh leleng dalang pu’rung, kenung kening hanje…

(Letak lilin dalam tempurung kelapa, ku sana ke mari)

Nok be’rong ekek pasa bedil buluh, uting woh nake…

(Nak main sekejap meriam buluh, bijik buah nangak)

Bukang ende… saje nok suke…

(Bukan apa, saja nak suka-suka)

Budok dulu dok suke dok tong…

(Budak dulu tak suka lepak-lepak)

Bile duk dumoh maing petong chetong..

(Bila duduk kat rumah, main baling-baling)

Ade gok bahang muke, bekok chobong, bekok nutong..

(Ada yang kena muka, bengkak-bengkak)

Tapi die dok baloh baik sangat dengan saing rudong…

(Tapi dia tak bermusuh, baik sangat dengan kawan-kawan)

Pah puah die cakak, die belebong…

(Puas bercakap, dia bercakap menipu pula)

Badi tunjuk gagoh, badi tunjuk gong

(Masing-masing tunjuk gagah, masing-masing tunjuk hebat)

Tapi boleh harak sangak….

(Tapi boleh harap sangat)

Tunggu ayang takut keno kekoh bokbong…

(Jaga ayam takut kena makan musang)

Pagi raye gie umoh orang…

(Pagi Raya melawat rumah orang)

Duk payoh suroh…wi salang masuk duduk

Tak payah disuruh, bagi salam terus duduk)

Tuang umoh wi pitih ambik berahluh..

(Tuan rumah bagi duit, bersopan je ambil)

Kenyang makang ajok saing duk wakah kubo..

(Kenyang makan ajak kawan-kawan duduk wakaf kubur)

Orang mari na’wak boleh lima sen surang…

(Orang datang melawat, dapat lima sen seorang)

Boleh wak beli bog…

(Boleh beli beg)

Ada gok hok dok boleh…

(Ada juga yang tak dapat)

Duk wat gane gelo la… jauh nok lah….

(Mula lah mengelar)

Hok nok tu’mbuk

(Ajak bertumbuk)

Raye dulu, udoh-udoh orang dulu pong dok main seluk…

(Raya dulu, …….. orang dulu tak mencuri)

Bejuruh sangat la besalang,

(Baik sangat-sangat waktu bersalam)

Orang dok wi pitih ileng…orang wi, angguk…

(Orang bagi tak bagi duit geleng kepala, orang bagi, angguk kepala)

Ari raye orang muda dulu… ?????...

(Hari raya orang muda dulu….????)

Bujeng je’tak, sluor yankee..

(Jambul cokeng, seluar yankee)

Saik baju cu’keng, sebak rendang kanji…

(Side baju cokeng, pasal rendam kanji)

Plik mate mok ayoh…mengakok…

(Lari dari mata mak ayah je…merangkak)

Dalang rok keladi…

(Dalam semak pokok keladi)

Menusuk nok gie ju’pe woh hati….

(Sembunyi pasal nak jumpa buah hati)

Jumpa ka’sih, bukang makang kek sambuk ari jadi…

(Jumpa kekasih, bukan makan kek sambut hari jadi)

Dok kena berger, piza…

(Tak kenal burger, pizza)

Hok ade, jeruk kelubi…

(Yang adanye, jeruk buah kelubi)

Orang muda lening….

(Orang muda sekarang)

Nok ajok ba’ko lemang…payoh…

(Nak ajak bakar lemang… susah)

Suroh jage api… chat’tung muke…

(Mintak tolong jaga aoi lemang, tarik muka masam)

Tengok siket…ajok gucoh…

(Jeling sedikit, ajak bergaduh)

Wak ke’je skit…bergeliak cari heloh..

(Buat kerja sedikit…mengeliat cari helah)

Saloh skit je…. Ajok ba’loh..

(Salah sedikit…ajak bergaduh)

Bukang mende…nok wi ke die…

(Bukan apa…nak bagi dia kat dia)

Nok suruh makang kedaroh…

(Nak suruh makan)

Me’cuk mengah gitu….

(Mula lah hentak-hentak kaki)

Baik dok soh…

(Baik tak payah)

Malang raye lening…

(Malam raya sekarang)

Budok kecik bejuruh ket perangai..

(Kanak-kanak baik sedkit perangai)

Main leleng bunge api…

(Main lilin, bunga api)

Orang tue dok mak’nga..

(Orang tua duk perhatikan)

Ambih bu’ah dia pakak lumbe basika..

(Habis bermain, mereka berpakat lumna basikal)

Dokpe la…die kurang braka…

(Tak mengapa la… mereka kurang berakal sedikit)

Orang mude lening…

(Orang muda sekarang)

Malang raye mok suruh beli gule…

(Malam raya mak mintak tolong beli gula)

Nok wak serawe…

(Nak buat pengat serawa)

Wak pedia cha’duh…

(Dia tak berhati-hati)

Tukak moto…nge gie bile cuke..

(Tungkat motor..dia pergi beli cuka)

Ma’roh mok die…

(Marah-marah mak dia)

Mung suke je…

(Dia hanya ketawa je)

Bukang guane nok kederah janji denge member lepah puko duebelah

(Bukan apa, tengah cepat-cepat, pasal janji dengan kawan selepas pukul 12)

Ayang kokok mule-mule, siak sedia..

(Ayam mula je berkokok, bersiap sedia)

Pereh motor nok blumbe..

(Tarik minyak muto nak berlumba)

Dok kira muto besor kecik…

(Tak kira motor besar atau kecik)

Honda cup pung dok ape…

(Honda cup pun tak mengapa)

Kalu orang kaye muto beso, ekzos chamber…

(Kalau orang kaya, motor besar, ekzos chamber)

Dok awok soreng je… belakang ade mokwe

(Bukan awak sorang aja…belakang ada makwe)

Mokwe duk je…

(Makwe duk tengok je)

Dok ape lah wak sarat ade…

(Tak mengapa la, buat syarat je)

Malang gok brommm blumbe…gile-gile…

(Malam je vrommm berlumba motor…gila-gila)

Siang ke mok, hok dok tahu kebenda…

(Kesian kat mak, yang tak tahu apa-apa)

Ingak anok gie beraye umoh sedere…

(Ingat anak beraye di rumah sedara)

Maklumlah lame dok jumpe skali skale…

(Almaklumlah lama dah tak berjumpa)

Ke’juk subuh dengo brite..

(Terkejut subuh, dengar berita)

Degang… anok berlage…

(Berdegang…anak kemalangan)

Orang kate die blumbe… nok putong member…

(Orang kata dia berlumba… nak potong kawan)

Netah kera…

(Tiba-tiba melintas lah kera)

Hibenye hati mok dia macang nok gila….

(Hibanya hati mak dia macam nak gila)

Kalu gila nok bi’ning dok apa…

(Kalau gila nak berbini tak mengapa)

Bakpe la die duk tepoh bale…

(Kenapa lah dia pergi cari bala)

Crite anok dare di malang raye…

(Cerita anak dara di malam raya)

Panggil geng ajok crite…

(Panggil kawan-kawan ajak bercerita)

Orang tuk nok dok ke die…

(Orang itu nak tak kat dia)

Orang nie nok kedie..

(Orang nie nak kat dia)

Nok wak gane lawo sangat die…

(Nak buat macam mana, perasan cantik)

Duk depang cerming, badi tunjuk gaye…

(Duduk depan cermin, masing-masing tunjuk lawa)

Dok ape lah…. Itu hok die…

(Tak mengapa la… itu hak dia)

Ari raye lening…kalu pitih ada..

(Hari raya sekarang)

Nok wak kueh dok payoh.. beli la saje…

(Tak payah susah-susah…beli aje)

Gie paso raye, sume ade…

(Pergi pasar raya, semua ada)

Esok suruh umoh nganga…kate orang umoh terbuke…

(Esok buka pintu rumah, kata orang rumah terbuka)

Sblum ari raye ari terbuke…

(Sebelum hari raya rumah terbuka)

Sedare mare, malang pakak buke crite…

(Sedara mara, bila malam masing-masing bercerita)

Buke crite duka…buke crite suke…

(Buka cerita duka, buka cerita suka)

Kena geli hati…pakak suke…

(Kalau geli hati, masing-masing ketawa)

Tu lah adak berkeluarge…

(Itulah adab berkeluarga)

Jumpe skali skale di ari raye….

Sajak loghat Kuala Berang (Terengganu) – Raye Dulu, Raye Lening

Loghat Kuala Berang ini agak berbeza sedikit dengan loghat Terengganu yang biasa di dengari terutamanya perkataan yang berakhit dengan huruf “a” akan ditukarkan kepada huruf “รจ” bukan “e” dan banyak mengunakan perumpaan bagi mengantikan maksudnya, serta banyak mengunakan ayat pembilang yang mungkin agak sukar untuk difahami…..

p/s: lain kg lain cara bercakapnya =D

Saturday, March 12, 2011

~Besarnya Cinta Rasulullah~

Pagi itu, walaupun langit telah menguning, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap. Pagi itu, Rasulullah dengan suara terbatas memberikan Khutbah. " Wahai umatku, kita semua ada dalam kekuasaan Allah dan cinta kasih-Nya. Maka taati dan bertakwalah kepada-Nya. Ku wariskan dua perkara kepada kalian, Al-Quran dan sunnahku. Barang siapa mencintai sunnahku, bererti mencintai aku dan kelak orang-orang mencintaiku, akan masuk syurga bersama-sama aku.

Khutbah singkat itu diakhiri dengan menatap mata Rasulullah yang tenang dan penuh minat menatap sahabatnya satu persatu. Abu Bakar menatap mata itu dengan berkaca-kaca, Umar adanya naik turun nafas dan tangisnya. Usman menghela nafas panjang dan Ali menundukkan kepalanya dalam-dalam. Isyarat itu telah datang, saatnya sudah tiba.

" Rasulullah akan meninggalkan kita semua," keluh hati semua sahabat kala itu. Manusia tercinta itu, hampir selesai menunaikan tugasnya di dunia. tanda-tanda itu semakin kuat, tatkala Ali dan Fadhal dengan cergas menangkap Rasulullah yang berkeadaan lemah dan goyah ketika turun dari mimbar. Di saat itu, kalau mampu, seluruh sahabat yang hadir di sana pasti akan menahan detik-detik berlalu.

Matahari kian tinggi, tapi pintu rumah Rasulullah masih tertutup. Sedang di dalamnya, Rasulullah terbaring lemah dengan keringat yang membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya. Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam.

"Bolehkah saya masuk?" tanyanya. Tapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk.

" Maafkanlah, ayahku sedang demam," kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu. Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya, " Siapakah itu wahai anakku?'

" Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya," tutur Fatimah lembut. lalu Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan, seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang.

" ketahuilah, dialah yang akan menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malaikat maut," kata Rasulullah. Fatimah pun menahan ledakan tangisnya.

Malaikat maut datang menghampiri, tapi Rasulullah menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya. Kemudian dipanggilkan Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut roh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.

"Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?' tanya Rasulullah dengan suara yang lemah. "pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti rohmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu," kata Jibril. Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan.

" Engkau tidak senang, mendengar khabar ini? tanya Jibril lagi.

"Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?'

"Jangan Khuatir, wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: "Ku haramkan syurga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada didalamnya." kata Jibril.

Saatnya semakin dekat Izrail melakukan tugas. Perlahan roh Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menengang.

" Jibril, betapa sakitnya sakaratul maut ini.." perlahan Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam, Ali yang disampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka.

"Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?" tanya Rasulullah pada Malaikat penghantar wahyu itu.

"Siapakan yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal," kata Jibril.

Sebentar kemudian terdengar Rasulullah memekik kerana sakit yang tidak tertahan lagi.

" Ya Allah, dasyatnya nian maut ini, timpakan saja semua seka maut ini kepadaku, jangan pada umatku."

Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikan sesuatu. Ali segera mendekatakan telinganya

"Peliharakanlah solat dan peliharalah oarang-orang lemah diantaramu."

Di luar pintu, tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan di wajahnya dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang kebiruan.

" Umatku! Umatku! Umatku!" dan berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran.

Kini mampukah kita mencintai sepertinya?

"sumber majalah muslimah 2008"

~PENGERTIAN HIDUP~

Kehidupan ini mempunyai seribu satu erti dan makna. Dalamnya ada mengandungi pelbagai pelajaran bagi mereka yang ingin mengambil pelajaran daripadanya. Kehidupan ini tidak semudah yang disangka oleh golongan yang sambil-lewa dan tidak sesusah yang disangka oleh golongan yang tamak dan bergantung kepada dirinya semata-mata.

Hidup ini suatu lapangan, tempat di mana Allah s.w.t. menyempurnakan kehambaan para hambaNya yang ingin menyempurnakan kehambaan diri mereka kepadaNya. Hidup ini suatu peluang, tempoh untuk para hambaNya menzahirkan rasa kesyukuran, kesabaran dan keredhaan kepadaNya, yang merupakan antara ciri-ciri kehambaan kepadaNya.

Manusia yang leka daripada hakikat dirinya yang sekadar seorang hamba kepada Tuhannya, secara tidak langsung akan menghadapi kesulitan dalam berinteraksi dengan kehidupan itu sendiri. Ini kerana, apa yang dicari hanyalah kepuasan nafsu diri, kelazatan yang memberi manfaat kepada kepentingan diri sendiri, tanpa menghayati makna kehidupannya yang lebih sempurna, iaitu dirinya hidup sebagai hamba kepada Tuhan yang menciptakannya daripada tiada kepada ada, iaitulah Allah s.w.t. yang Maha Pencinta.

Seseorang yang hidup semata-mata untuk kepuasan nafsu dan kepentingan diri, kerana tidak menghayati hakikat kehambaan diri, pasti tersalah dalam berinteraksi dengan kehidupan ini, sehingga membawa kepada terasa terbeban dengan sebuah kehidupan yang sementara ini. Apa yang dikejar selalunya tidak dapat. Apa yang didapatinya juga tidak akan kekal bersamanya setelah dia mati. Di mana nilai sebuah kehidupan bagi manusia yang semacam ini?

Bagi seseorang manusia yang menghayati makna kehambaan diri kepada Tuhannya, pasti akan memahami kehidupan ini dengan maknanya yang lebih luas dan sempurna. Kebendaan dan duniawi tidak lagi berkuasa menawan kebahagiaan dan kelapangan hati dan jiwanya. Dia tahu, hidup ini ialah untuk menterjemahkan makna kehambaan diri kepada Allah s.w.t. dengan menunaikan ketaatan kepadaNya secara zahir mahupun batin.

Bertolak daripada itulah, akhirnya seseorang mula memahami bahawasanya, seluruh kehidupan ini, samada berkaitan dengan ketentuanNya mahupun penetapan hukum-hakamNya, merupakan penzahiran "interaksi" Tuhannya kepadanya. Seseorang hamba yang sentiasa menghadirkan rasa kehambaan diri kepadaNya dalam segenap tindakannya dalam kehidupannya, akan turut merasai kehadiran muamalah (interaksi) Tuhannya kepadanya melalui segala yang berlaku dalam kehidupannya.

Bermula dengan menunaikan ketetapan syariat dan hukum Allah s.w.t. dalam kehidupannya, maka penghayatan terhadap makna syariat yang dilaksanakannya dengan jiwa hamba mula bersinar dalam hatinya. Dia mula melihat hakikat di sebalik syariat dengan pandangan zauqi (perasaan rohani) kurniaan Ilahi. Dia mula menghayati bahawasanya, syariat ialah bukti kewujudan dan kehendak Tuhan yang menciptakan dan mentadbirnya dan seluruh alam ini.

Bertolak daripada itu juga, takkala dia menunaikan ketaatan batin (hati) kepada Tuhannya, dengan sifat-sifat mahmudah seperti ikhlas, jujur, tawadhuk, istiqomah, sabar, syukur, redha dan sebagainya, maka dia mula mengenali hakikat ketentuan Allah s.w.t. dalam segenap kehidupannya.

Apabila dia ditimpa sesuatu yang berat terasa oleh nafsu dan dirinya, maka di situlah peranan seseorang hamba dalam menzahirkan kehambaannya kepadaNya dengan melahirkan sifat "sabar" terhadap ketentuanNya yang menimpanya tersebut. Dia juga menzahirkan rasa lemah di hadapan Allah s.w.t. dengan mengembalikan ketentuanNya kepadaNya, dengan mengadu masalah yang menimpanya kepada Allah s.w.t. yang mengujinya dengan ketentuan tersebut, dalam rangka semata-mata untuk menagih keredhaan dan bantuanNya.

Seseorang hamba yang mengadu masalahnya kepada Allah s.w.t. dalam rangka untuk menzahirkan kelemahan dirinya kepadaNya berbeza dengan seseorang yang mengadu kepada Allah s.w.t. akan masalahnya dalam bentuk membangkang ketentuanNya.

Adapun seorang hamba yang mengadu masalahnya kepada Allah s.w.t. dalam rangka untuk menzahirkan kelemahan diri kepadaNya, tujuannya hanyalah untuk menzahirkan hakikat diri yang "lemah" dan sentiasa memerlukan bantuanNya dalam menghadapi ketetapanNya, sedangkan orang yang merungut di hadapan Allah s.w.t. mengenai ketentuanNya ke atasnya bertujuan untuk menzahirkan rasa tidak puas hatinya terhadap ketentuanNya yang tidak mengikut kehendak dan keinginan nafsu dirinya.

Mengadu dengan tujuan menzahirkan rasa lemah kepada Allah s.w.t. tidak mengandungi unsur mempertikaikan ketentuan Allah s.w.t., tetapi sekadar memohon rahmat dan bantuan Allah s.w.t. agar dia mampu menghadapi ketentuanNya dengan bantuanNya. Adapun orang yang merungut kepada Allah s.w.t. membawa maksud mempertikaikan ketentuan Allah s.w.t. dan terkadang boleh membawa kepada menyalahkan Allah s.w.t., seolah-olah dia lebih pandai dari Allah s.w.t.. Berbeza antara menzahirkan rasa lemah dengan menzahirkan kepandaian diri di hadapan Allah s.w.t..

Oleh kerana itu, Imam Abu Al-Hasan As-Syazuli yang menghayati makna kehambaan ini mengungkapkan ungkapan penuh adab di hadapan Allah s.w.t. dengan berdoa (dalam hizb al-kabir):

"Wahai Tuhanku. Aku tidak memohon agar tertegahnya apa yang Engkau mahu tentukan ke atasku. Tetapi, aku memohon sokonganMu (kepadaku) dengan bantuanMu kepadaku dalam setiap ketentuanMu ke atasku"

Nilai kehambaan ini juga pernah diungkapkan oleh Saidina Rasulullah s.a.w. dalam doa Baginda s.a.w. ketika di Thaif dengan berdoa:

"Wahai Tuhanku, aku mengadu kepadaMu akan lemahnya diriku…".

Nilai-nilai mengadu dalam rangka meminta bantuan daripadaNya dan menzahirkan kelemahan diri dan keperluan kepadaNya merupakan antara nilai kehambaan yang tertinggi dalam diri seseorang hamba kepada Tuhannya.

Oleh yang demikian, hamba yang beradab dengan adab kehambaan tersebut mula menzahirkan rasa memerlukannya dan bersabar dalam rangka untuk membuktikan kehambaan diri kepadaNya dengan sentiasa mengharapkan bantuan daripadaNya.

Adapun takkala dia ditimpa sesuatu yang menyenangkan diri dan nafsunya, samada kesenangan dalam bentuk kebendaan, rezeki, jodoh dan sebagainya, maka dia akan menzahirkan rasa kesyukuran kepadaNya dengan mengembalikan segala kebaikan yang didapatinya kepada Allah s.w.t., bukan menyandarkan kebaikan tersebut kepada usaha dirinya sendiri.

Inilah nilai kehambaan yang agung dalam diri seseorang manusia, di mana dia sentiasa berasa menghargai setiap kebaikan dalam kehidupannya kerana menghayati bahawa semua kebaikan adalah daripada Allah s.w.t., Tuhan yang Maha Pemurah.

Dengan rasa syukur tersebut, maka Allah s.w.t. menganugerahkan makrifatullah (mengenal Allah s.w.t.) kepadanya, dan menganungerahkan kefahaman tentang rahsia-rahsia muamalah Allah s.w.t. dalam segenap kehidupannya. Inilah kelebihan daripada sifat syukur yang dijanjikan oleh Allah s.w.t. yang berfirman dengan maksud: "jika kamu bersyukur, Aku akan tambah buatmu akan nikmat"… Penambahan nikmat yang agung adalah, kefahaman tentang hakikat diri, hakikat kehidupan dan hakikat ketuhanan Allah s.w.t. dalam kehidupannya seharian.

Hidup ini ialah tempat bemualamah secara beradab. Bagaimana seseorang ingin beradab dalam bermuamalah dengan Allah s.w.t. melalui kehidupannya, sedangkan dia tidak mengenal hakikat dirinya sebagai hamba Allah s.w.t. yang perlu beradab kepadaNya, tidak mengenali hakikat kehidupan yang merupakan tempat menzahirkan adab kepada Allah s.w.t. dalam berinteraksi kepadaNya dan tidak mengenali Allah s.w.t., Tuhan yang ingin menyempurnakan adab kehambaannya melalui kehidupannya?

Dalam hidup ini terkandung risalah-risalah Allah s.w.t. dalam segenap detik dalam kehidupan kita, jika hati kita sentiasa hadir dalam bermuamalah denganNya dengan adab kehambaan kepadaNya. Sabar dan syukur merupakan dua sayap utama bagi kerohanian seseorang hamba dalam menuju keredhaanNya. Setelah seseorang mencapai istiqomah dalam sabar dan syukur dalam segenap kehidpannya terhadap setiap ketentuanNya dengan bantuan Allah s.w.t., maka dia akan dianugerahkan rasa redha kepada Allah s.w.t. dalam setiap ketentuanNya.

Pada darjat "redha" inilah, seseorang manusia tidak lagi merasai beza antara ketentuan dengan ketentuan, tiada merasai susah ataupun senang, kerana hatinya sentiasa fokus kepada mencari keredhaan Allah s.w.t. di sebalik setiap ketentuanNya, dan menghadapi setiap ketentuanNya dengan pandangan redha kepada Allah s.w.t.. Sesungguhnya, redha kepada Allah s.w.t. ini merupakan darjat yang teragung yang dicapai oleh seseorang hamba Allah, kerana seseorang tidak akan meredhai Allah s.w.t. melainkan setelahmana Allah s.w.t. meredhainya dan berkehendak supaya dia juga meredhaiNya.

Kehidupan ini sebuah perjalanan dalam muamalah kehambaan seseorang hamba dengan Tuhannya. Nilai kehidupan adalah pada penghayatan seseorang terhadap makna kehambaan dirinya dalam kehidupannya, makna kehidupannya selaku hamba kepada Tuhannya dan makna ketuhanan Allah s.w.t. dalam kehidupannya selaku hambaNya. Tanpa makna-makna tersebut, kehidupan tiada erti bagi seseorang manusia. Hidup tanpa "makna", yang tinggal hanyalah "makan". Makan, minum, tidur dan sebagainya, dalam rangka memenuhi nafsu di sekitar usianya yang semakin menuju kesudahan. Akhirnya, dia di sisi Allah s.w.t. bagaikan binatang, bahkan lebih sesat dan rendah daripada binatang, kerana tidak menghargai nilai kehidupannya sebagai manusia yang penuh dengan makna-makna yang mulia.

Masalah kemurungan, kesedihan, penderitaan dan rasa malang manusia sebenarnya bukanlah kerana gagal menanggung ketentuan Allah s.w.t., tetapi masalah-masalah tersebut kembali kepada "tidak memahami makna di sebalik ketentuanNya" lalu membawa kepada kegagalan dalam berinteraksi dengan ketentuanNya sebagaimana yang sepatutnya. Tanpa menghayati makna kehambaan diri, makna kehidupan yang merupakan medan menyempurnakan kehambaan dan makna ketuhanan Allah s.w.t. dalam kehidupan, maka seseorang akan mencari kebahagiaan yang bukan sebenarnya suatu kebahagiaan, akhirnya dia terus menderita dan menderita dalam rangka untuk mencari kebahagiaan menurut persepsinya.

Kebahagiaan bukan pada kepuasan nafsu, tetapi pada terealisasinya kehambaan diri kepada Allah s.w.t.. Kekayaan itu ialah kekayaan jiwa, seperti yang diberitahu oleh Baginda s.a.w. yang mulia. Hidup ini bukan tempat setiap orang cari apa yang dia mahukan, tetapi hidup ini ialah tempat setiap orang menunaikan tujuan asal dirinya diciptakan. Kalau mahu terus mencari makna kebahagiaan selain makna yang diingini oleh Tuhan, maka setiap langkahmu dalam mencarinya adalah suatu penderitaan. Akhirnya, yang kamu himpunkan hanyalah penderitaan demi penderitaan.

Wallahu a'lam…

Al-Faqir ila Rabbihi Al-Qawiy Al-Qadir

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Razi

('AmalahuLlahu bi lutfiHi)

~Maha Suci Allah~

KECANTIKAN PARAS WAJAHMU

AKAN HILANG BILA SAMPAI WAKTU

DARI ITU JANGAN RASA BANGGA

ITU SEMUA TAK TAHAN LAMA

MELAINKAN ALLAH

HARI INI HIDUPMU SENANG

KAWAN SAUDARA KELILING PINGGANG

BILA KAU SUSAH DIRI TERLANTAR

TIADA SIAPA UNTUK KAU MENGADU

MELAINKAN ALLAH

INGATLAH SEMUA INSAN INSANI

KITA MAKHLUK CIPTAAN ILAHI

HARUS SELALU MENGINSAFI DIRI

SEBELUM TIBA SAAT AJALMU

APA JUGA YANG KAU MILIKI

WANG YANG BANYAK HARTA MELIMPAH

TAK MUNGKIN DAPAT KAU BAWA MATI

TIADA YANG KEKAL DI DUNIA INI

MELAINKAN ALLAH

Wednesday, January 6, 2010

Permulaan

Assalamualaikum....
Syukur Alhamdulillah dapat juga saya menyiapkan blog yang agak mudah dan senang dibuat ini.
Bila kita tidak tahu melakukan sesuatu perkara ia membuatkan kita sukar untuk melakukan perkara tersebut walaupun perkara tersebut senang. Apabila kita tidak tahu untuk melakukan sesuatu perkara, kita perlu bertanya kepada orang yang lebih mengetahui tentang perkara tersebut. Oleh itu, perkara yang kita ingin buat atau capai akan akan menjadi kenyataan dengan segala usaha yang kita lakukan untuk mencapai sesuatu matlamat.
sekian intro dari saya...Wslam.