Monday, April 18, 2011

Suratan Takdir

Allah SWT berfirman yang maksudnya: “Sesungguhnya segala sesuatu Kami ciptakan dengan kadar (ukuran, aturan)”. (Surah Al-Qamar : Ayat 49)

Takdir ialah hukum, ketentuan yang menjadi peraturan dan undang-undang terhadap terjadinya segala sesuatu dalam bentuk sebab dan akibat. Iaitu dari sebab hubungan sesuatu dengan sesuatu yang lain dengan kadarnya masing-masing, di situ ada ukuran dan aturan yang menjadi undang-undang yang mengakibatkan wujudnya kadar lain lagi.

Daripada Ibnu Umar ra katanya, Rasulullah SAW berkata yang maksudnya : “Tiap-tiap sesuatu dengan kadar hinggakan kelemahan dan kecerdikan”. (Hadis Riwayat Muslim)

Hikmah daripada ketetapan kadar dan ketentuan adalah untuk kebahagiaan manusia sendiri dalam menjalani kehidupan di dunia ini.

Allah SWT berfirman yang maksudnya: “(Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu. Dan (ingatlah) Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur lagi membanggakan diri”. (Surah Al-Hadid : Ayat 23)

Inti pati ayat ini mengingatkan kita agar tidak berputus asa apabila terpaksa menerima sebarang kegagalan atau tidak bersedih dengan kemiskinan atau kecewa dengan kemelaratan hidup. Seterusnya kita dianjurkan supaya tidak berbangga apabila mendapat sesuatu kejayaan atau tidak terlalu bergembira (tanpa bersyukur), hingga lupa daratan kerana mendapat kekayaan dan kemewahan hidup kerana kegagalan atau kejayaan, kemiskinan atau kekayaan, itu pada hakikatnya adalah mengikut ketetapan Allah. Kerana setiap manusia saling berkait.

Setiap pergerakan, langkah dan perjalanan kita di muka bumi ini telah ditentukan oleh Allah SWT iaitu qada’ dan qadar-Nya. Maka tidaklah menjadi suatu yang menghairankan jika sesuatu yang tidak disangka-sangka tiba-tiba berlaku ke atas diri kita sama ada yang baik atau sebaliknya.

Walaubagaimanapun kita sebagai hamba-Nya mempunyai hak untuk berusaha agar dijauhkan daripada sesuatu yang buruk atau meminta diberikan sesuatu yang dihajatkan. Dalam hal ini ada orang yang suka menazarkan sesuatu sekiranya hajatnya terlaksana atau terlepas daripada sesuatu yang tidak diingininya dan ini dilakukan dengan menggantung sepenuh harapan kepada belas ihsan dan kasih sayang Allah SWT.

Namun begitu nazar bukanlah suatu gantian yang semestinya diperolehi atau dipenuhi seperti yang diminta bahkan ia hanya sekadar suatu bentuk didikan jiwa agar seseorang itu sentiasa mengingati kekuasaan Allah dan mensyukuri nikmat-Nya.

Ini dijelaskan dalam sebuah hadis Nabi SAW; Dari Abu Hurairah katanya, Nabi saw bersabda: “Sesungguhnya nazar itu tidak dapat mendekatkan seseorang kepada sesuatu yang ditakdirkan Allah belum akan menjadi miliknya. Tetapi nazar itu sesuai dengan kadar. Dengan nazar dapat dipungut pembayaran dari orang-orang bakhil yang sebelumnya tidak bersedia membayarnya”. (Hadis Riwayat Muslim)

Perlu diingat, bernazar tidak begitu digalakkan dalam Islam kerana ia mewajibkan sesuatu yang tidak wajib. Apabila kita bernazar dan mengecapi hajat tersebut, maka kita diwajibkan untuk menunaikan perkara yang dinazarkan. Namun begitu nazar diharuskan dengan tujuan untuk menghampirkan diri kepada Allah SWT.

Walaupun setiap manusia telah ditetapkan suratan takdirnya, namun kita hendaklah berusaha dalam kehidupan. Bukan sekadar berserah kepada takdir semata-mata. Kita juga sama sekali dilarang untuk menyalahkan takdir.

Rasulullah saw bersabda yang maksudnya: “Kemiskinan membawa kepada kekufuran dan hasad mengatasi qadha’ dan qadar”. (Hadis Riwayat Abu Naim)

Huraian dan pengajaran hadis ini adalah manusia yang mempunyai sikap tercela (mazmumah) sering dibenci oleh orang ramai. Ia boleh merosakkan potensi diri hingga adakalanya turut mengganggu masyarakat setempat. Sikap inilah yang menjauhkan hati daripada mengingati Allah SWT.

Manakala hasad dengki adalah di antara sifat-sifat mazmumah tersebut. Oleh itu awasilah diri daripadanya kerana ia adalah dosa yang pertama sekali dilakukan oleh Iblis laknatullah yang telah menolak perintah Allah agar sujud kepada Nabi Adam as. Begitu juga Qabil yang telah membunuh Habil, juga disebabkan oleh perasaan dengki.

Apa yang dimaksudkan dengan sifat dengki (hasad) itu ialah, “apabila melihat orang lain lebih daripadanya maka dia akan cuba menjatuhkannya”. Inilah dengki yang dilarang oleh Islam. Seharusnya apabila seorang mukmin melihat orang lain berjaya maka dia harus berusaha kuat untuk menjadi sepertinya. Inilah dengki (ghibthah) yang dibenarkan oleh Islam.

Dengki (yang dilarang Islam) harus dicegah dengan memupuk sifat qana’ah (puas hati dengan apa yang ada setelah berusaha), redha serta bersyukur dengan pemberian Allah dan bukan melakukan perkara-perkara yang membawa kekufuran terhadap-Nya.

Ingatlah, takdir yang ditentukan Allah terhadap hamba-Nya tidak sama, sesetengahnya di luar kehendak hamba itu sendiri. Ada yang dapat memiliki rumah besar, berpangkat tinggi serta dapat menikmati makanan yang enak-enak dan ada juga yang hanya duduk di pondok buruk dan makan sekadar untuk mengalas perut.

Namun Allah tidak pernah menzalimi hamba-Nya. Jika seseorang itu dapat menghadapi setiap ujian dan takdir Allah itu dengan redha, berharap dan takut pada kemurkaan-Nya, sudah tentulah setiap takdir itu akan menguntungkannya.

Jika dikurniakan kekayaan, maka dengan kekayaan itu dia dapat membantu orang yang susah, anak-anak yatim, fakir miskin serta melakukan lain-lain kebajikan sehingga ia menjadi lebih hampir kepada Allah dan mendapat rahmat serta kasih sayang-Nya. Sebaliknya jika ditakdirkan menerima nasib yang kurang baik seperti miskin dan sebagainya, tetapi dia sanggup bersabar di samping berusaha, maka Allah akan membalasnya dengan seribu rahmat.

No comments:

Post a Comment