Suratan Takdir
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani
Wednesday, December 21, 2011
Persoalan Cinta Remaja
Disebabkan itulah para suami / bapa sanggup melakukan apa sahaja untuk membantu dan menyelesaikan masalah isteri dan anak-anaknya kerana suami / bapa itu mencintai dan menyayangi mereka sepenuh hatinya. Dia sanggup melakukan apa sahaja untuk membahagiakan orang yang dia cintai dan sayangi. Begitulah hebatnya cinta yang ditunjukkan oleh suami / bapa sebagai memenuhi amanah daripada Allah Taala kepadanya.
PERTUNANGAN MENURUT SYARAK
Tuesday, December 20, 2011
Permata Yang Dicari
Menggamit kasih cinta bersemi
Hadir cinta insan padaku ini
Anugerah kurniaan Ilahi
Lembut tutur bicaranya
Menarik hatiku untuk mendekatinya
Kesopanannya memikat di hati
Mendamaikan jiwaku yang resah ini
Ya Allah
Jika dia benar untukku
Dekatkanlah hatinya dengan hatiku
Jika dia bukan milikku
Damaikanlah hatiku
Dengan ketentuan-Mu
Dialah permata yang dicari
Selama ini baru kutemui
Tapi ku tak pasti rencana Ilahi
Apakah dia kan kumiliki
Tidak sekali dinodai nafsu
Akan kubatasi dengan syariat-Mu
Jika dirinya bukan untukku
Redha hatiku dengan ketentuan-Mu
Ya Allah
Engkaulah tempat kubergantung harapanku
Kuharap diriku sentiasa di bawah rahmat-Mu
Monday, April 18, 2011
Suratan Takdir
Allah SWT berfirman yang maksudnya: “Sesungguhnya segala sesuatu Kami ciptakan dengan kadar (ukuran, aturan)”. (Surah Al-Qamar : Ayat 49)
Takdir ialah hukum, ketentuan yang menjadi peraturan dan undang-undang terhadap terjadinya segala sesuatu dalam bentuk sebab dan akibat. Iaitu dari sebab hubungan sesuatu dengan sesuatu yang lain dengan kadarnya masing-masing, di situ ada ukuran dan aturan yang menjadi undang-undang yang mengakibatkan wujudnya kadar lain lagi.
Daripada Ibnu Umar ra katanya, Rasulullah SAW berkata yang maksudnya : “Tiap-tiap sesuatu dengan kadar hinggakan kelemahan dan kecerdikan”. (Hadis Riwayat Muslim)
Hikmah daripada ketetapan kadar dan ketentuan adalah untuk kebahagiaan manusia sendiri dalam menjalani kehidupan di dunia ini.
Allah SWT berfirman yang maksudnya: “(Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu. Dan (ingatlah) Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur lagi membanggakan diri”. (Surah Al-Hadid : Ayat 23)
Inti pati ayat ini mengingatkan kita agar tidak berputus asa apabila terpaksa menerima sebarang kegagalan atau tidak bersedih dengan kemiskinan atau kecewa dengan kemelaratan hidup. Seterusnya kita dianjurkan supaya tidak berbangga apabila mendapat sesuatu kejayaan atau tidak terlalu bergembira (tanpa bersyukur), hingga lupa daratan kerana mendapat kekayaan dan kemewahan hidup kerana kegagalan atau kejayaan, kemiskinan atau kekayaan, itu pada hakikatnya adalah mengikut ketetapan Allah. Kerana setiap manusia saling berkait.
Setiap pergerakan, langkah dan perjalanan kita di muka bumi ini telah ditentukan oleh Allah SWT iaitu qada’ dan qadar-Nya. Maka tidaklah menjadi suatu yang menghairankan jika sesuatu yang tidak disangka-sangka tiba-tiba berlaku ke atas diri kita sama ada yang baik atau sebaliknya.
Walaubagaimanapun kita sebagai hamba-Nya mempunyai hak untuk berusaha agar dijauhkan daripada sesuatu yang buruk atau meminta diberikan sesuatu yang dihajatkan. Dalam hal ini ada orang yang suka menazarkan sesuatu sekiranya hajatnya terlaksana atau terlepas daripada sesuatu yang tidak diingininya dan ini dilakukan dengan menggantung sepenuh harapan kepada belas ihsan dan kasih sayang Allah SWT.
Namun begitu nazar bukanlah suatu gantian yang semestinya diperolehi atau dipenuhi seperti yang diminta bahkan ia hanya sekadar suatu bentuk didikan jiwa agar seseorang itu sentiasa mengingati kekuasaan Allah dan mensyukuri nikmat-Nya.
Ini dijelaskan dalam sebuah hadis Nabi SAW; Dari Abu Hurairah katanya, Nabi saw bersabda: “Sesungguhnya nazar itu tidak dapat mendekatkan seseorang kepada sesuatu yang ditakdirkan Allah belum akan menjadi miliknya. Tetapi nazar itu sesuai dengan kadar. Dengan nazar dapat dipungut pembayaran dari orang-orang bakhil yang sebelumnya tidak bersedia membayarnya”. (Hadis Riwayat Muslim)
Perlu diingat, bernazar tidak begitu digalakkan dalam Islam kerana ia mewajibkan sesuatu yang tidak wajib. Apabila kita bernazar dan mengecapi hajat tersebut, maka kita diwajibkan untuk menunaikan perkara yang dinazarkan. Namun begitu nazar diharuskan dengan tujuan untuk menghampirkan diri kepada Allah SWT.
Walaupun setiap manusia telah ditetapkan suratan takdirnya, namun kita hendaklah berusaha dalam kehidupan. Bukan sekadar berserah kepada takdir semata-mata. Kita juga sama sekali dilarang untuk menyalahkan takdir.
Rasulullah saw bersabda yang maksudnya: “Kemiskinan membawa kepada kekufuran dan hasad mengatasi qadha’ dan qadar”. (Hadis Riwayat Abu Naim)
Huraian dan pengajaran hadis ini adalah manusia yang mempunyai sikap tercela (mazmumah) sering dibenci oleh orang ramai. Ia boleh merosakkan potensi diri hingga adakalanya turut mengganggu masyarakat setempat. Sikap inilah yang menjauhkan hati daripada mengingati Allah SWT.
Manakala hasad dengki adalah di antara sifat-sifat mazmumah tersebut. Oleh itu awasilah diri daripadanya kerana ia adalah dosa yang pertama sekali dilakukan oleh Iblis laknatullah yang telah menolak perintah Allah agar sujud kepada Nabi Adam as. Begitu juga Qabil yang telah membunuh Habil, juga disebabkan oleh perasaan dengki.
Apa yang dimaksudkan dengan sifat dengki (hasad) itu ialah, “apabila melihat orang lain lebih daripadanya maka dia akan cuba menjatuhkannya”. Inilah dengki yang dilarang oleh Islam. Seharusnya apabila seorang mukmin melihat orang lain berjaya maka dia harus berusaha kuat untuk menjadi sepertinya. Inilah dengki (ghibthah) yang dibenarkan oleh Islam.
Dengki (yang dilarang Islam) harus dicegah dengan memupuk sifat qana’ah (puas hati dengan apa yang ada setelah berusaha), redha serta bersyukur dengan pemberian Allah dan bukan melakukan perkara-perkara yang membawa kekufuran terhadap-Nya.
Ingatlah, takdir yang ditentukan Allah terhadap hamba-Nya tidak sama, sesetengahnya di luar kehendak hamba itu sendiri. Ada yang dapat memiliki rumah besar, berpangkat tinggi serta dapat menikmati makanan yang enak-enak dan ada juga yang hanya duduk di pondok buruk dan makan sekadar untuk mengalas perut.
Namun Allah tidak pernah menzalimi hamba-Nya. Jika seseorang itu dapat menghadapi setiap ujian dan takdir Allah itu dengan redha, berharap dan takut pada kemurkaan-Nya, sudah tentulah setiap takdir itu akan menguntungkannya.
Jika dikurniakan kekayaan, maka dengan kekayaan itu dia dapat membantu orang yang susah, anak-anak yatim, fakir miskin serta melakukan lain-lain kebajikan sehingga ia menjadi lebih hampir kepada Allah dan mendapat rahmat serta kasih sayang-Nya. Sebaliknya jika ditakdirkan menerima nasib yang kurang baik seperti miskin dan sebagainya, tetapi dia sanggup bersabar di samping berusaha, maka Allah akan membalasnya dengan seribu rahmat.
Saturday, March 19, 2011
::12 sifat sahabat::
- Jika engkau berbuat bakti kepadanya, ia akan melindungimu.
- Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas baik persahabatanmu itu.
- Jika engkau perlukan pertolongan daripadanya berupa wang dan sebagainya ia akan membantumu.
- Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, ia akan menerima dengan baik.
- Jika ia mendapat sesuatu kabajikan (bantuan) daripadamu, ia akan menghargai atau menyebut kebaikanmu.
- Jika ia melihat sesuatu yang tidak baik daripadamu, ia akan menutupnya.
- Jika engkau meminta sesuatu bantuan daripadanya, ia akan mengusahakannya.
- Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), ia akan menanyakan kesusahanmu.
- Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, ia akan meringankan kesusahanmu(membuat sesuatu untuk menghilangkan kesusahan itu).
- Jika engkau berkata kepadanya, nescaya ia akan membenarkanmu.
- Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya ia akan membantumu.
- Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya ia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.
::Rahsia Solat::
Berdiri Betul - Fadilatnya ketika mati dapat meluaskan tempat kita didalam kubur
Takbiratul Ihram - Fadilatnya sebagai pelita yang menerangi kita didalam kubur
Fatihah - Sebagai pakaian yang indah-indah didalam kubur
Rukuk - Sebagai tikar kita didalam kubur
Iktidal - Akan memberi minuman air dari telaga al-kautsar ketika didalam kubur
Sujud - Memagar kita ketika menyeberangi titian sirotul mustaqim
Duduk Antara Dua Sujud - Akan menaung panji-panji nabi kita didalam kubur
Duduk Antara Dua Sujud (akhir) - Menjadi kenderaan ketika kita dipadang masyar
Tahiyat Akhir - Sebagai penjawab bagi setiap soalan yang dikemukakan oleh mungkar dan nangkir didalam kubur
Selawat Nabi - Sebagai pendinding api neraka didalam kubur
Salam - Memelihara kita didalam kubur
Tertib - Akan pertemuan kita dengan Allah
::Kecantikan bukanlah segala-galanya::
Di sini saya ingin fokuskan kepada kecantikan. Kecantikan memang satu kebahagiaan bagi lelaki. Semakin cantik seseorang itu, semakin dia mendekati nilai kewanitaan dari segi kaca mata kasar. Keinginan lelaki kepada kecantikan bukan satu perkara baru, ia adalah nafsu yang sudah bertapak sejak zaman pembunuhan qabil terhadap habil lagi kerana dengki melihat saudaranya mendapat pasangan yang cantik.
Saya teringat satu filem bersiri dr house memilih dr cameron sebagai pembantunya. dr cameron merasa tercabar kerana dr house memilihnya untuk berkerja dengannya kerana kecantikannya dan bukan kerana kepandaiannya. Bila ditanya oleh dr cameron, dr house menjawab "saya memilih awak sebab memilih awak adalah seperti meletakkan patung hiasan di ruang legar".
Sepertimana tidak wujudnya cinta sejati, begitulah juga tidak wujudnya kecantikan sejati. Saya maksudkan dengan kecantikan sejati ialah kecantikan yang apabila diperolehi, kita puas dengannya dan tidak akan ada yang lebih cantik dari itu. 'kecantikan sejati' tidak wujud. Gelaran wanita tercantik di dunia adalah satu tahyul. Sesiapa yang menburu kecantikan sejati samalah seperti mengejar fatamorgana. Sungguh kasihan, dia merasakan dengan mendapat wanita yang lebih cantik akan memuaskan hatinya tetapi sebaliknya dia akan menjadi seperti seorang yang sentiasa lapar walaupun makan apa sahaja. Jiwa tidak tenteram dan sentiasa tercari-cari kecantikan yang boleh memuaskan hati buat selama-lamanya,melompat dari satu wanita ke wanita yang lain mencari-cari kepuasan diri yang tak kunjung tiba.
Realitinya kecantikan wanita tidak akan berkesudahan. Setiap hari kita akan sentiasa berjumpa dengan wanita cantik yang berlainan dan nafsu akan sentiasa tertarik. Persoalannya dimanakah sudahnya pencarian ini? Seperti kawan saya pernah berkata "ibu-ibu melahirkan perempuan cantik setiap hari, dimanakah sudahnya?".
Jika inilah kriteria utama yang dijadikan kayu ukur untk memilih pasangan, ia akan mendatangkan masalah kepada kita atas beberapa faktor:
1. Perempuan yang terlalu cantik akan menarik terlalu ramai lelaki, ia dari satu segi akan menyusahkan kita sebagai pasangan hidupnya. seperti kata pepatah "barangsiapa yang berkahwin dengan wanita cantik, maka sebenarnya dia berkahwin dengan masalah".
2. Sebenarnya kecantikan bukanlah segala-galanya yang menjamin kebahagiaan. Kecantikan tanpa agama adalah tanggungan dosa, kecantikan tanpa akhlak adalah neraka, kecantikan tanpa ilmu adalah kemunduran.
Sebab itulah Rasulullah pernah bersabda "wanita yang berkulit hitam dan koyak telinganya adalah lebih afdhal dikahwini jika dia beragama".
saya tidak sekali-kali menafikan kecantikan sebagai salah satu dari faktor kebahagiaan.ia adalah satu faktor yang tidak boleh dinafikan. Menurut Imam Ghazali, kecantikan diletakkan dalam keutamaan ke 3 selepas agama dan akhlak.
Jangan ditolak faktor kecantikan dalam memilih pasangan. Itu adalah orang yang cuba menafikan fitrah. Sesiapa yang cuba menafikan fitrah, dia akan mengundang masalah dalam hidupnya. Cuma pada pendapat saya berpada-padalah dalam memilih kecantikan sebagai faktor memilih pasangan. Jangan cuba mendidik diri kita untuk terlampau dalam memilih kecantikan, kelak akan menyusahkan diri sendiri.
Persaingan menunjukkan kecantikkan
Malangnya zaman yang kita lalui sekarang adalah zaman yang penuh dengan fitnah. Di zaman ini, setiap wanita yang tidak menjaga agama cuba menunjukkan kecantikan masing-masing. Kalau boleh hendak sahaja ditunjukkan segala-galanya kepada lelaki dan itulah yang telah berlaku. Bukan setakat muka, bahkan bentuk badan cuba ditunjukkan seluas-luasnya kepda lelaki. Bentuk badan diperagakan kepada lelaki dengan berpakaian ketat walaupun memakai tudung. Jika diwaktu dahulu, pakaian ketat hanyalah dipakai oleh pelakon dan penyanyi, sekarang pakaian ketat dipakai oleh hampir kesemua wanita Islam tanpa segan silu. Di zaman ini, yang berpakaian seperti telanjang itulah yang dikatakan mengikut peradaban zaman dan muslimah yang menutup aurat itulah yang dikatakan ketinggalan zaman.
Maka benarlah ramalan rasulullah tentang akhir zaman
"Dua golongan di antara penghuni neraka yang belum aku lihat keduanya: suatu kaum yang membawa cambuk seperti ekor sapi yang mereka gunakan untuk memukul orang-orang; perempuan yang berpakaian tetapi telanjang yang cenderung dan mencenderungkan orang lain, rambut mereka seperti punuk unta yang miring. Mereka ini tidak akan masuk surga dan tidak akan mencium aroma surga. Sesungguhnya aroma surga itu boleh dicium sejauh perjalanan demikian dan demikian. "
(HR Muslim)
Imam Muslim meriwayatkannya dari Zuhair bin Harb, dari Jarir, dari Suhail dari bapaknya (yakni Abu Shalih), dari Abu Hurairah. Hadis tersebut juga diriwayatkan oleh Ibn Hibban dalam Shahîh-nya dan Imam Ahmad dalam Musnad-nya.
sungguh benar nabi muhammad dalam ramalan ini.
bertambah bahaya lagi apabila setiap iklan dan poster menonjolkan wanita cantik. setiap pelakon drama dan penyanyi mestilah wanita cantik. hatta produk sabun dan pakaian sekalipun menonjolkan wanita cantik. maka masyarakat kita secara tidak sedar sudah meletakkan piawaian yang tinggi bagi kecantikan wanita. "wanita mestilah cantik" atau "wanita yang kurang cantiknya maka kuranglah darjat sebagai wanta".
wanita-wanita islam mula terpengaruh dengan budaya dan pakaian yang ditunjukkan di dalam TV. sebab itulah TV adalah satu saluran berbahaya yang boleh mempengaruhi pemikiran anak-anak muda muslim. apa yang ditunjukkan di dalam TV, maka itulah perkara yang kita akan ikut. sebab itulah kerosakan akhlak bukan sahaja berlaku di bandar-bandar, bahkan juga berlaku di kampung-kampung kerana keracunan fikiran anak muda Islam melalui media massa.
Bandingan dengan golongan bukan Islam
Ditambah malang lagi apabila kita berada di dunia global. Kita mula bercampur dengan bangsa lain dan menonton filem bangsa lain. Kita sudah mula membuat perbandingan tentang apakah itu kecantikan maka bangsa yang kurang cantiknya akan ditinggalkan dan bangsa yang lebih cantik akan tinggi darjatnya. Perletakan standard yang tinggi kepada kecantikan melalui iklan dan filem ini mendatangkan bahaya kepada hubungan pasangan. Lelaki-lelaki tua yang sebelum ini tidak berpeluang untuk mencari gadis-gadis kerana kongkongan suasana pada masa itu, kini telah mengambil peluang kerana kebebasan pergaulan yang semakin menjadi-jadi.
Kita mula merasa dengki dengan wanita belum Islam yang mendedahkan badan mereka. Kita dengki melihat mereka memakai skirt dan seluar pendek hingga nampak peha, kita dengki melihat wanita belum Islam memakai seluar jeans ketat hingga nampak lurah punggung, kita dengki melihat wanita belum Islam memakai baju ketat yang menampakkan bentuk buah dada. Kerana ingin menjadi wanita 'global', kita mula meniru cara pemakaian mereka. Akhirnya wanita Islam yang dahulu tinggi maruahnya kini maruahnya seperti barangan jualan lelong. dipermainkan dan kemudiannya ditinggalkan tanpa sebarang ikatan.
Apabila wanita keluar rumah dan menunjukkan kecantikan masing-masing, maka mulalah timbul unsur-unsur persaingan maka terpaksalah wanita-wanita berusia memakai baju ketat dan seluar jeans untuk menandingi wanita-wanita muda. Wanita-wanita muda pula berlumba-lumba cuba untuk menunjukkan tubuh yang langsing dan muka yang cantik kepada kaum lelaki. Sebab itulah ahli perniagaan produk kecantikkan menjadi kaya raya disebabkan kegilaan melakukan perlumbaan menunjukkan kecantikan.
Perbuatan mengikut yahudi dan kristian
kaum lelaki mula mengambil kesempatan atas perubahan yang terbuka luas ini. Disebabkan tiada lagi halangan untuk membawa anak-anak dara muslim ke mana-mana, maka berlakulah budaya bonceng haram, budaya hubungan seks haram dan budaya anak haram. Lelaki mula memilih wanita-wanita seperti memilih barang mainan,habis madu sepah dibuang. Salah siapa? soalan ini akan dijawab kemudian.
Akhirnya kita kaum muslim sudah mula menjadi seperti kaum yahudi dan kristian. Orang yahudi dan kristian sudah mula redha/rela dengan kita kerana kita mengikut MILLAH (cara hidup mereka). Sebagaimana ayat al-Quran al-Baqarah ayat 120 "Sekali-kali tidak akan redha orang-orang Yahudi dan Nasrani sehinggalah kamu mengikut millah (jalan-jalan hidup) mereka".
Jangan keliru. millah tidak bermaksud agama. millah bermaksud cara hidup. Walaupun kita tidak masuk agama mereka, orang-orang yahudi dan kristian sudah redha/suka dengan kita jika kita mengikut cara hidup mereka dan inilah apa yang telah berlaku.
ataupun hadith rasulullah "Dari Abu Sa'id Al-Khudri Ra. ia berkata: Bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda: Kamu akan mengikuti jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka". Sahabat bertanya. "Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nashrani yang Tuan maksudkan?" Nabi Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam menjawab, "Siapa lagi?" (kalau bukan mereka). (HR. Muslim)
::Makna bacaan dalam solat::
Allahu Akbar
Allah Maha Besar
Doa Iftitah
Allah Maha Besar dan segala puji bagi Allah dengan banyaknya. Maha suci Allah sepanjang pagi dan petang. Aku hadapkan wajahku bagi Tuhan yang mencipta langit dan bumi, dengan suasana lurus dan berserah diri dan aku bukan dari golongan orang musyrik. Sesungguhnya solatku, Ibadatku, hidupku, matiku adalah untuk Allah Tuhan sekelian alam. Tidak ada sekutu bagiNya dan kepadaku diperintahkan untuk tidak menyekutukan bagiNya dan aku dari golongan orang Islam.
Al-Fatihah
Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Yang maha pemurah lagi maha mengasihani. Yang menguasai hari pembalasan. Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkau kami mohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan mereka yang Engkau murkai dan bukan jalan mereka yang sesat.
Bacaan Ketika Rukuk
Maha Suci TuhanKu Yang Maha Mulia dan dengan segala puji-pujiannya.
Bacaan ketika bangun dari rukuk
Allah mendengar pujian orang yang memujiNya.
Bacaan ketika iktidal
Wahai Tuhan kami, bagi Engkaulah segala pujian.
Bacaan ketika sujud
Maha suci TuhanKu yang Maha Tinggi dan dengan segala puji-pujiannya.
Bacaan ketika duduk di antara dua sujud
Ya Allah, ampunilah daku, Rahmatilah daku, kayakan daku, angkatlah darjatku, rezekikan daku, berilah aku hidayah, sihatkanlah daku dan maafkanlah akan daku.
Bacaan ketika Tahiyat Awal
Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah.
Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya.
Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad.
Bacaan ketika Tahiyat Akhir
Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya. Sebagaimana Engkau selawatkan ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim. Berkatilah ke atas Muhammad dan atas keluarganya sebagaimana Engkau berkati ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim di dalam alam ini. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Agung.
Doa Qunut
Ya Allah, berilah aku petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Engkau tunjuki. Sejahterakanlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau sejahterakan. Pimpinlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau pimpin. Berkatilah hendaknya untukku apa-pa yang telah Engkau berikan padaku. Jauhkanlah aku daripada segala kejahatan yang telah Engkau tetapkan. Sesungguhnya hanya Engkau sahajalah yang menetapkan, dan tidak sesiapapun yang berkuasa menetapkan sesuatu selain daripada Engkau. Sesungguhnya tidak terhina orang yang memperolehi pimpinanMu. Dan tidak mulia orang-orang yang Engkau musuhi. Telah memberi berkat Engkau, ya Tuhan kami dan maha tinggi Engkau. Hanya untuk Engkau sahajalah segala macam puji terhadap apa-apa yang telah Engkau tetapkan. Dan aku minta ampun dan bertaubat kepada Engkau. Dan Allah rahmatilah Muhammad, Nabi yang ummi dan sejahtera keatas keluarganya dan sahabat-sahabatnya.
"wahai Tuhan ku tak layak ke syurgaMu ... namun tak pula aku sanggup keNerakaMu... .kami lah hamba yang mengharap belas dariMu ."Ya Allah jadikan lah kami hamba2 Mu yang bertaqwa..ampunkan dosa2 kami, kedua ibubapa kami, dosa semua umat2 Islam yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia"